Kau Pergi Jua.....
Assalamualaikum & Salam Siswa/i,
Rasanya seolah-olah baru semalam kita berkenalan. Namun apakan daya, Tuhan lebih menyayangi-MU. Perjumpaan Biro Kerohanian yang pertama merupakan hari bermakna bagi aku kerana itulah titik permulaan persahabatan kita. Disitulah kita mula berkenalan. Meskipun KAU hebat orangnya, namun tidak sekalipun kau meninggi diri ketika bersama kami. AIMAN HAFIZI BIN SHARIFUDDIN, KAULAH SATU DALAM SEJUTA.
Ukhwah Terjalin
Ketika dalam mesyuarat biro, KAU merupakan ahli yang paling banyak berbicara. Oleh itu, kami sebulat suara memilih kau sebagai Ketua Biro kerana menyedari kewibawaan yang ditunjukkan semasa dalam mesyuarat tersebut. Terkenal dengan kelewatannya dalam mesyuarat, walau bagaimana sibuk sekalipun, KAU tetap cuba sedaya upaya untuk hadirkan diri ke mesyuarat biro.
Pada malam barbeku Biro Kerohanian, sifat kepimpinan KAU semakin menonjol. Manakan tidaknya, sewaktu ahli biro lain sedang sedap menjamu selera, KAU masih lagi sibuk memanggang saki-baki ayam dan sosej yang belum digrill. Apabila salah seorang dari kami cuba untuk menolong, KAU tidak memberikan peluang. KAU suruh kami teruskan perbincangan dan biarkan KAU seorang memanggang. Sungguh mulia pekerti-MU.
Tiba Saatnya
Pada suatu malam, Felo Kerohanian, Encik Hafiz Zainol atau lebih mesra dipanggil Pak Jenol menjemput semua warga blok K5A dan K5B untuk hadir ke majlis doa selamat bersempena Hari Konvokesyen beliau yang bakal menjelang. Ketika itu, kami sedari bahawa KAU tidak hadir dalam majlis, tapi kami masih bertenang dengan anggapan bahawa KAU memang biasanya hadir lewat. Namun sehingga majlis selesai, KAU masih tidak munculkan diri. Jam menunjukkan 10.10 malam, aku pun pulang ke bilik tanpa menyedari perkara itu.
Namun, alangkah terkejutnya aku tiba-tiba mesej di Whatsapp menyatakan bahawa KAU kini sedang koma di Unit Rawatan Rapi Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Cheras akibat kemalangan langgar lari di Sungai Besi. Dilaporkan kepalanya parah dan rusuknya patah. Doktor, berkata jika dalam masa 3 jam ini tiada sebarang tindak balas positif, maka bersiap sedialah. Allahu... Disaat itu, luluh sayu hati aku mendengar berita sedih itu. Setiap masa aku sentiasa mendoakan kesembuhan KAU sehinggalah aku terlelap.
Berpisah kita selamanya....
Jam 6.30 pagi aku tersedar dengan deringan jam loceng. Setelah menunaikan Solat Subuh, aku membaca Whatsapp dan ternyata, Allah lebih menyayangi-MU. KAU telah selamat kembali ke Rahmatullah. Jenazah-MU telah selamat dikebumikan di kampung halaman-MU di Sungkai, Perak.
Keesokan harinya, pada malam mesyuarat biro, perasaan sayu menyelubungi ahli-ahli biro. Ketika mesyuarat, kami menantikan pintu terbuka seperti biasa kau lewat hadir. Tetapi situasi itu tidak berlaku pada hari malam itu. AIMAN... Walaupun tempoh perkenalan kita hanya 2 bulan, tetapi KAU telah menjadikannya 2 bulan yang penuh makna buat kami semua. Semoga tenang KAU di sana.
Al-Fatihah.....
Comments
Post a Comment